Monday, 28 April 2014

Abah lupa...

Kupetik nukilan ini dari FB seseorang..

untuk ingatan diri ini yang selalu lupa..selalu lupa yang anak itu tetap anak,yang anak itu jiwanya suci..minta dibelai,bukan dimarah...minta dimanja,bukan diherdik, minta perhatian,bukan mata duitan..


anak-anak ummi, hati bergetar tatkala membaca artikel ini..
ummi perlu selalu ingtakn diri ini..bahawa KAMU.KAMU.KAMU adalah harta ummi paling tidak ternilai dan tida galang gantinya walau setimbunan harta di dunia ini..

Ya Allah..maafkan aku yang selalu lupa..

ABAH LUPA

October 26, 2010 at 4:19pm
 Dengarlah, Anakku!

Aku mengatakan hal ini ketika kamu terbaring tidur. Di pipimu ada bekas makanan coklat dan di dahimu yang lebar terdapat bekas luka akibat kamu terjatuh di rumah nenekmu.

Secara diam-diam aku memasuki bilikmu. Beberapa ketika sebelum itu, sewaktu aku membaca surat khabar, tiba-tiba aku didatangi oleh rasa kesal yang teramat sangat. Dengan perasaan bersalah itu, aku mendekati katil tidurmu.

Dalam diri aku berkecamuk fikiran : Aku bertindak kasar terhadapmu, Anakku. Aku membentakmu sewaktu kamu memakai pakaian terbalik untuk pergi ke shoping kompleks dan kamu hanya mencuci muka sahaja. Aku menghukum kamu kerana tidak membersihkan kasutmu. Aku marah-marah sewaktu kamu menyelerakkan barang-barangmu di atas lantai.

Pada waktu sarapan aku juga menemui kesalahanmu. Kamu selerakkan barang-barang. Kamu tumpahkan makananmu. Kamu letakkan dagumu di meja. Kaya yang kamu sapukan pada roti terlalu tebal. Dan sewaktu kamu pergi bermain dan aku mahu pergi bekerja menaiki kereta, kamu berpusing, melambai-lambai tangan dan berteriak 'Selamat jalan, Abah!". Dahiku berkerut, lalu menjawab, "Pusingkan bahu kamu!"

Pada waktu petang berulang lagi perkara seperti itu. Sewaktu aku sampai di jalan, aku melihat kamu sedang bermain guli sambil berlutut. Sarung kakimu berlubang-lubang. Aku memarahimu di hadapan teman-temanmu dan menyuruhmu berjalan pulang di hadapan aku.

Sarung kaki itu mahal - dan sekiranya kamu membelinya dengan wangmu sendiri, kamu tentu akan lebih berhati-hati! Anakku, ingatlah bahawa kata-kata ini adalah daripada seorang abah!

Ingatkah kamu, waktu aku membaca di bilik bacaan, kamu datang dengan ketakutan dan wajahmu kelihatan seolah-olah mengalami kesakitan? Waktu itu aku sibuk membaca, kamu ragu-ragu berada di pintu. "Apa yang kamu mahu?" sergah aku.

Kamu tidak berkata apa-apa, tetapi terus berlari ke arahku dan merangkul kuat-kuat lalu mencium aku. Tangan munggilmu merengkuh dengan kelembutan yang diberikan Tuhan dalam dirimu, bahkan tidak boleh diacuhkan oleh seseorang yang sama sekali tidak memberikan perhatian. Dan kemudian kamu pergi, naik ke tingkat atas.

Tidak lama selepas itu, Anakku, suratkhabar yang aku baca terjatuh dan tiba-tiba aku berasa cemas sekali. Apakah kebiasaan yang merasuk diriku? Kebiasaan mencari-cari kesalahan, memaksa - inilah hadiah aku kepadamu sebagai anak. Itu bukan kerana aku tidak menyayangimu; melainkan aku sangat mengharapkan masa mudamu. Aku mengukur dirimu dengan ukuran yang berlaku pada masaku.

Dan demikian banyak yang baik dan lembut serta benar dalam perwatakanmu. Hatimu yang kecil ternyata mencakupi luas sekali, seluas carekawala. Ini ternyata ketika kamu secara spontan bergegas berlari dan menciumku sebagai ucapan selamat malam. Malam ini, hanya kamu yang aku fikirkan, Anakku. Aku telah berada di katilmu dalam kegelapan dan aku berlutut di situ, malu kepada diriku sendiri.

Ini memang suatu penyesalan yang lemah, aku tahu kamu tidak akan mengerti ini semua sekiranya aku katakan kepadamu. Tetapi esok aku akan bersungguh-sungguh menjadi seorang abah! Aku akan berpadu denganmu, menderita apabila kamu menderita dan tertawa jika kamu tertawa. Lidahku akan kutahan, kalau ada kata-kata yang kurang sabar. Aku akan terus mengucapkannya seakan-akan ianya adalah suatu kebiasaan : Kau masih kanak-kanak, Anak kecil!"

Aku khuatir sekiranya telah memperlakukanmu sebagai seorang dewasa. Namun ketika aku memandangmu sekarang, anakku, tidur meringkuk dan kelihatan letih disebalik selimutmu dan buaimu, aku menyedari bahawa kamu masih kanak-kanak. Kelmarin kamu masih digendong oleh ibumu, kepalamu di bahunya. Aku telah menuntut terlalu banyak, terlalu banyak.

No comments: